PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat bertemu dan menitipkan kata-kata semangat buat skuad Harimau Malaya yang kini sedang menjalani latihan di Johor Bahru.
Menerusi catatan di Facebook beliau, kata-kata semangat itu diberikan sebelum skuad tersebut berentang menentang Vietnam dalam Piala Asia 2027, 10 Jun depan.
Pertemuan tersebut diadakan selepas Kongres Nasional Keadilan 2025 yang berlangsung kelmarin.
“Saya titipkan kata-kata semangat kepada mereka yang bakal menghadapi perlawanan penting dalam pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam, bulan depan.
“Seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang kalian, memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,”katanya.
Sebagai rekod, Malaysia dan Vietnam memulakan aksi Kumpulan F dengan langkah kanan apabila menang aksi pertama kelayakan bulan lalu.
Kedua-dua pasukan terdesak untuk meneruskan momentum kerana hanya juara setiap kumpulan pada pusingan kelayakan ini akan mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi. – https://amiminerals.org/