Pesawat berdentum rempuh bas, 2 terbunuh

Viral Brazil scaled

SEBUAH pesawat ringan terhempas di Sao Paulo. – Foto X

BRASILIA – Sebuah pesawat ringan merempuh bahagian belakang bas awam sebelum terbakar dan mengorbankan dua orang di Sao Paulo, Brazil, lapor portal berita metro.co.uk semalam.

Dua mangsa nahas kapal terbang di bandar raya terbesar Brazil itu adalah seorang pesohor terkenal dan juruterbang yang ‘diupah’untuk menerbangkannya.

Pesohor itu, Marcio Louzada Carpena yang merupakan seorang peguam dan professor undang-undang selain terkenal kerana mempamerkan tentang gaya hidup keluarganya di media sosial dilaporkan membeli pesawat lapan tempat duduk itu pada Disember tahun lalu.

Pada pagi semalam, pesawat itu terhempas di jalan yang sibuk di bandar raya tersebut dan membunuh Carpena yang merupakan bapa kepada tiga orang anak dan juruterbang, Gustavo Carneiro Medeiros, 44.

Pesawat Beech F90 King Air yang dikeluarkan pada tahun 1981 itu merempuh bahagian belakang bas awam dan terbakar di Marques de Sao Vicente Avenue.

Juruterbang dipercayai cuba untuk melakukan pendaratan cemas sebelum nahas tersebut berlaku.

Menurut pihak berkuasa tempatan, seorang penumpang bas dan penunggang motosikal yang terkena serpihan pesawat itu dihantar ke hospital.

Empat mangsa tambahan di lokasi kejadian turut dihantar ke hospital di wilayah itu dengan mengalami kecederaan ringan.

Pesawat itu dipercayai terhempas hanya lima minit selepas berlepas dari lapangan terbang berhampiran. – AGENSI