KUALA PERLIS – Seorang pesara polis bertindak pantas menyelamatkan seorang pemandu dan dua cucunya selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Sungai Lempiak, Sungai Berembang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu , pesara polis terbabit, Sarjan (B) Yusoff Ya, 63, berkata dalam perjalanan ke Kuala Sungai Baru dengan menunggang motosikal.
Katanya, dia menyedari kejadian selepas melihat percikan air tinggi di hadapannya pada jarak kira-kira 50 meter.
“Saya terkejut melihat kenderaan di dalam sungai dan melihat pemandu melambai meminta pertolongan. Saya segera berhenti dan mencari batu besar untuk memecahkan cermin tingkap
“Dalam keadaan itu, saya juga bimbang jika cermin pecah lalu air memasuki kenderaan. Saya kemudian menyedari pintu belakang sebelah kanan kenderaan itu sedikit terbuka dan mendapati terdapat dua kanak-kanak di dalamnya,”kata lelaki berasal dari Kuala Perlis itu.
Katanya, dia kemudian menjerit menyuruh mereka menendang pintu sekuat mungkin serta bersyukur pintu berjaya dibuka sebelum mengarahkan mereka keluar dari kenderaan serta naik ke tebing sungai.
Dalam keadaan cemas, Yusoff berkata, dia terus membawa ketiga-tiga mangsa ke tempat selamat sebelum menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Jelasnya lagi, kejadian berlaku dengan begitu pantas sehingga dia sendiri tidak pasti bagaimana kenderaan tersebut boleh terjunam ke dalam sungai.
Yusoff telah bersara sejak tujuh tahun lalu dan kali terakhir berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu selain pernah menyertai Pasukan Gerakan Am.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop mengesahkan kejadian tersebut dan memuji tindakan pantas pesara polis berkenaan yang berjaya menyelamatkan mangsa sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Tambahnya, pihak polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan dan mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutamanya di kawasan berhampiran sungai. – https://amiminerals.org/