Pesara jururawat rugi RM111,044 ditipu \’pegawai polis\’

WhatsApp Image 2024 09 20 at 12.22.43 PM

Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pesara jururawat mengalami kerugian sebanyak RM111,044 selepas terperdaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 29 Mei lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berusia 72 tahun dari Bentong menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Individu tersebut memberitahu mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan telah memasukkan wang sebanyak RM210,000 ke akaun mangsa.

“Panggilan kemudiannya disambung ke Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang dan mangsa bercakap dengan Inspektor Zamri yang memberitahu akaun bank milik mangsa akan dirujuk ke Bank Negara bagi siasatan lanjut,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diarahkan untuk menyerahkan semua kad bank miliknya untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa kemudiannya menyerahkan kad bank beserta nombor pin kepada individu tersebut dengan meletakkan di dalam bungkusan di hadapan rumah mangsa sebelum anggota polis daripada Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong dikatakan mengambil bungkusan berkenaan.

“Mangsa kemudiannya telah pergi ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan dan mendapati baki wang simpanan mangsa tiada.

“Mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM111,044.64 dan wang berkenaan adalah wang simpanan persaraan suami mangsa,”katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi.