MELAKA – Polis memburu seorang lelaki dipercayai pesakit mental yang bertindak memukul ahli keluarganya selepas dilarang untuk memandu kereta di Kampung Pantai Kuala Sungai Baru, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kali terakhir suspek dilihat melarikan diri ke arah kawasan semak yang menuju ladang sawit di belakang rumahnya.
“Suspek ini merupakan pesakit mental dan kita masih memburunya.
“Setakat ini siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam pada itu menurut sumber, suspek dilaporkan telah memukul adik iparnya berusia 28 tahun selepas mangsa melarangnya membawa kereta.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari apabila mangsa terlihat kereta miliknya yang diparkir di rumah mentua digunakan suspek tanpa kebenaran.
“Mangsa kemudian mengambil kunci keretanya, namun dihalang suspek yang terus memarahi serta menampar pipi kirinya berkali-kali sehingga mengalami bengkak di kedua belah bawah mata dan pipi,” katanya.
Tambahnya, mangsa kemudian terpaksa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan bengkak dan laporan polis dibuat atas faktor keselamatan dirinya,” katanya. – https://amiminerals.org/