Perompak bertopeng sasar rumah terpencil di Salak Tinggi diburu

SAMUN GAMBAR HIASAN

GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Polis kini sedang memburu satu kumpulan penjenayah didalangi warga asing dipercayai warga Indonesia selepas dikesan terbabit dalam dua siri rompakan bersenjata di daerah ini sejak awal bulan ini.

Lebih menakutkan, kumpulan ini menjadikan kediaman yang berdekatan dengan hutan sebagai lokasi rompakan sebelum kesemua mangsa diikat dan dirompak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, kejadian pertama dilaporkan sekitar pukul 3 pagi pada 6 Oktober lalu di Persiaran Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa telah diikat oleh suspek di dalam rumah selepas rumah dipecah masuk melalui pintu belakang.

“Dalam kejadian itu, barang peribadi yang dilarikan membabitkan wang tunai, barangan kemas dan jam tangan.

“Manakala, bagi kejadian kedua pada Ahad lalu di Jalan Sheikh Jalaludin, Bandar Baru Salak Tinggi pula, tiga beranak dirompak menggunakan modus operandi sama dan suspek melarikan wang tunai, jam tangan dan barangan kemas,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Shan Gopal berkata, suspek juga bergerak secara berkumpulan antara tiga hingga empat orang yang melakukan samun menggunakan senjata parang, mengenakan baju warna gelap dan bertopeng.

Menurutnya, anggaran kerugian membabitkan dua kes samun itu adalah sekitar RM20,000. – https://amiminerals.org/