KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) melaksanakan proses perolehan pesawat baharu sebagai salah satu strategi meningkatkan keyakinan penumpang terhadap syarikat penerbangan tersebut.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, selain itu, perolehan tersebut juga bagi memastikan ketersediaan pesawat dapat memenuhi keperluan penerbangan yang dijadualkan.
Berdasarkan audit terkini Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) akan dikurangkan daripada tiga kepada satu tahun bermula 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2025.
“Syarikat penerbangan perlu melalui proses pengauditan yang lebih kerap sebelum AOC diperbaharui.
“Ini akan memastikan MAB lebih peka dan mengambil tindakan-tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagai mana pelan mitigasi yang telah dikemukakan oleh CAAM,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan bagi mengatsi masalah yang dihadapi oleh MAB disebabkan terdapat banyak aduan dan rungutan terhadap prestasi perkhidmatan syarikat penerbangan itu sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Hasbi berkata, salah satu strategi bagi memulihkan keyakinan penumpang terhadap MAB adalah berdasarkan kepada hasil laporan On-Time Performance (OTP) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
“Pada April tahun ini, MOT dan Mavcom menetapkan sasaran OTP 85 peratus dan penerbangan 80 peratus mematuhi jadual pada setiap masa bagi syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.
Katanya, pengumuman MAB untuk mengurangkan rangkaian penerbangan pada Ogos lalu turut menunjukkan hasil yang positif terhadap OTP syarikat itu.
“OTP MAB meningkat dari 58.2 peratus pada Ogos kepada lebih 80 peratus pada Oktober lepas,”katanya.
Dalam pada itu katanya, CAAM akan meneruskan pemantauan dan menjalankan pengauditan keselamatan terhadap semua pesawat yang dimiliki oleh syarikat penerbangan yang beroperasi dalam negara bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi sewajarnya. – https://amiminerals.org/