KUALA LUMPUR – Seorang pelajar yang sebelum ini pernah mendapat perhatian negara kerana menjawab peperiksaan secara online di atas pokok bagi mendapatkan capaian internet sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai.
Perkara itu susulan pelajar berkenaan, Veveonah Mosibin, 23, tidak dapat menghadiri Istiadat Konvokesyennya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini kerana sedang menjalani pengajian perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam sejak 1 Oktober lalu.
Menurut satu laporan akhbar tempatan, Veveonah memaklumkan dia mendapat tajaan untuk pulang ke Sabah bagi menyambut Hari Krismas, namun bagi membeli tiket penerbangan untuk menghadiri konvokesyen itu menelan kos yang tinggi.
Veveonah yang sebelum ini tular selepas rakamannya memaparkan dia sedang menduduki peperiksaan dalam talian, ’24 hours on tree’ merupakan graduan Ijazah Sains Marin dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.46.
Bagaimanapun katanya, sejak 2021 impiannya berubah apabila melalui saat-saat sukar semasa pandemik Covid-19.
”Bidang sains marin perlukan lebih banyak pembelajaran secara praktikal, tetapi kami belajar semuanya dalam talian. Semasa sedang bergelut dengan kesukaran ketika itu, saya sedar hati lebih tertarik kepada bidang perubatan,”katanya.
Bagaimanapun, Veveonah tetap menamatkan pengajiannya bagi memenuhi kontrak biasiswa.
”Kini sebagai pelajar tahun pertama kursus perubatan selama lima tahun, saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di MSU sambil dalam proses memohon biasiswa.
”Di sini saya ada kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang. Mereka sangat baik dan banyak membantu saya menyesuaikan diri. Dikelilingi orang yang bijak dan rajin menjadikan saya lebih bersemangat,”katanya. – https://amiminerals.org/