MELAKA – Nyawa 12 sekeluarga di Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai dekat sini bagai telur di hujung tanduk selepas terpaksa berteduh di bawah bumbung rumah yang ‘terburai’ akibat dipukul ribut, sejak tiga bulan lalu.
Menurut Mazelan Harun, 67, mahu atau tidak, keluarganya termasuk dua cucu berusia tiga dan tujuh tahun kini tidur bersama besen-besen tadahan air hujan susulan mereka berdepan kekangan kewangan untuk membaiki bumbung berkenaan.
“Saya merupakan pesara tentera dengan pencen hanyalah sekitar RM1,300 sebulan, memang tidak cukup jika nak baiki bumbung rumah yang roboh, anak-anak pula hanya dapat membantu menyediakan perbelanjaan harian sahaja.
“Memang bila-bila masa bumbung ini boleh jatuh menimpa kami tetapi apakan daya, saya telah meminta bantuan daripada beberapa pihak dan masih menunggu jawapan mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Tambahnya, selepas diperiksa hampir seluruh struktur bumbung rumah itu telah rosak termasuk di bahagian hadapan, dapur dan bilik tidur.
“Saya telah bertanya kepada tukang rumah dan diberitahu bumbung ini perlu ditukar secara keseluruhan kerana kayu-kayunya telah rosak akibat dipukul ribut serta dimakan anai-anai.
“Setiap kali hujan kami sekeluarga tidak dapat tidur kerana takut rumah ini roboh, kami hanya mampu berdoa agar dilindungi dan diberikan keselamatan,” luahnya hiba.
Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Melaka, Ashwad Abd. Rahim turut hadir ke kediaman tersebut bagi membuat penilaian bantuan segera yang dapat diberikan kepada keluarga Mazelan.
“Saya telah berhubung dengan Malaysia Relief Agency bagi berbincang mengenai saluran bantuan yang sesuai dan Insya-Allah kami akan cuba bantu secepat mungkin kerana rumah ini
sebenarnya tidak lagi selamat untuk diduduki, apatah lagi terdapat kanak-kanak di dalamnya,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0414041000054946 milik Mazelan atau hubungi talian 019-6879 858.