Perkasa lebih ramai guru Tahfiz Model Ulul Albab

SMKA ARAU TAHFIZ ULUL ALBAB

Bangunan asrama TMUA baharu di SMKA Arau. – Foto oleh IZLIZAN OTHMAN / KOSMO!

ARAU – Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memperkasakan lebih ramai guru dengan kepakaran mengajar dalam program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) berikutan permintaan yang tinggi terhadap model pendidikan tersebut.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu perlu kerana terdapat permintaan untuk menambah program berkenaan di sekolah-sekolah lain.

“Sekarang ini ada 15 buah sekolah yang menawarkan program TMUA dan kita sentiasa mendapat permintaan yang tinggi untuk menambah program TMUA ini.

“Namun, pastinya ada kriteria tertentu dengan sekolah-sekolah itu kita mesti persiapkan daripada aspek guru dan juga fasilitinya,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Asrama TMUA sempena Program Ziarah Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, di sini hari ini.

TMUA setakat ini ditawarkan di 11 SMKA dan empat Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Jumlah murid semasa bagi program TMUA di SMA adalah seramai 7,073 orang, SBP seramai 2,380, manakala murid di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang mengambil alirah tahfiz seramai 5,932 orang.

Kata beliau, TMUA berjaya melahirkan seramai 7,075 murid hafiz al-Quran sejak diperkenalkan pada 2014.

“Ia memberi impak yang sangat besar kepada pendidikan dan sentiasa menjadi pilihan ibu bapa dan komuniti kerana keupayaan daripada aspek menyediakan satu aliran TMUA yang memang menjadi harapan kita untuk memenuhi aspirasi pendidikan negara,”ujarnya.

Jelasnya, KPM juga sentiasa berusaha menyediakan kemudahan lengkap khusus untuk program TMUA.

“Penyerahan bangunan asrama baharu ini membuktikan iltizam KPM dalam menyemarakkan syiar Islam, memperkasakan TMUA, sekali gus meningkatkan akses pendidikan,”katanya.

Tambahnya, program berkenaan memberi penekanan dalam pengajian al-Quran dan hadis serta pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program TMUA adalah gabungan kurikulum kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kokurikulum yang dilaksanakan di SMKA dan SBP terpilih dengan menggunakan tiga pendekatan iaitu quranik, ijtihadik dan ensiklopedik. – https://amiminerals.org/