BALING – Seorang operator kilang maut selepas kereta dinaikinya terbabas dan melanggar lori yang diletakkan di bahu jalan di Lebuh Raya Gerik -Baling-Kulim, berhampiran Kampung Binjul, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.29 pagi itu, mangsa, Muhammad Shafizuddin Mohd Shafie, 23, berasal dari Kampung Bandar Hilir, Sik, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Azmi Mokhtar, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki kereta jenis Perodua MYvi telah melanggar sebuah lori jenis Volvo.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari rumahnya di Sik dalam perjalanan ke tempat kerja di Kilang Inokom, Kulim.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan arah Gerik-Baling-Kulim dan melanggar belakang lori yang di pakir di bahu jalan arah yang sama,”kata Azmi.
Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut, mangsa yang memandu seorang diri itu tersepit di bahagian tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian serta mayatnya hantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat. – https://amiminerals.org/