Perak catat kutipan zakat RM253 juta, tertinggi pernah direkodkan

WhatsApp Image 2025 04 29 at 6.59.58 PM 1

Syamsul Hazeman (tengah) bergambar pada Majlis Hi-Tea bersama pembayar zakat di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh hari ini. Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Perak mencatatkan kutipan keseluruhan zakat berjumlah RM253 juta bagi tahun 2024, meningkat berbanding RM237 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md. Salleh percaya peningkatan itu didorong oleh kesedaran dan kemampuan ekonomi dalam kalangan pembayar zakat.

“Memang berlaku peningkatan yang signifikan berbanding 2023. Bila angka kutipan zakat meningkat, maka kumpulan asnaf yang akan mendapat manfaat menjadi lebih besar dari segi nilai yang kita boleh agihkan.

“Kita lihat saban tahun berlaku peningkatan kutipan zakat, walaupun nilai zakat masih kekal,”katanya pada sidang akhbar selepas majlis Hi-Tea bersama pembayar zakat korporat, penyerahan Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta bantuan perkapita rumah perlindungan anak yatim Perak di sini hari ini.

Menurut MAIPK, pada 2024 sebanyak 43 syarikat dan individu melaksanakan agihan zakat melalui platform wakalah di Perak dengan jumlah keseluruhan RM24.2 juta.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Skim Bantuan Kebajikan Siswa kepada IPT yang mula dilaksanakan pada 2024.

Tambah Syamsul Hazeman, pada tahun ini MAIPk menambah senarai penerima dana bantuan tersebut kepada 10 institusi melibatkan jumlah RM540,000. – https://amiminerals.org/