PASIR PUTEH – Sekumpulan penyeludup bertindak meninggalkan sebanyak 4,000 karton rokok bernilai lebih RM200,000 termasuk cukai di dalam bot selepas kegiatan mereka dikesan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di dua lokasi berasingan di perairan Tumpat baru-baru ini.
Kedua-dua serbuan itu dijalankan oleh APMM di muara Sungai Tumpat pada Jumaat lalu dan di Sungai Gagak tengah malam tadi berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup sebanyak 790,000 batang rokok secara haram ke negara ini.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, pihaknya mengesan sebuah bot pancung dikemudi dalam keadaan mencurigakan di muara Sungai Tumpat kira-kira pukul 4 pagi pada Jumaat lalu.
Menurutnya, bot tersebut kemudian bertindak memecut ke kawasan paya bakau selepas menyedari kehadiran bot peronda APMM.
“Anggota APMM menjumpai bot tersebut di kawasan paya bakau, namun pemandunya sudah meloloskan diri.
“Pemeriksaan di dalam bot itu kemudian menjumpai lebih 780,000 batang rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Erwan Shah memberitahu, pihaknya merampas sebanyak 2,080 batang seludup ditinggalkan di dalam sebuah bot pancung yang tersadai di tebing Sungai Gagak kira-kira pukul 12.24 tengah malam tadi. – https://amiminerals.org/