TANAH MERAH – Taktik seorang penyeludup yang menghanyutkan tong-tong berisi petrol merentas Sungai Golok untuk diseludup ke Thailand terbongkar selepas dicekup anggota tentera di kawasan tebing sungai tersebut awal pagi semalam.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.50 pagi semasa sedang menghanyutkan tong-tong yang diikat tali ke negara jiran.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota tentera yang sedang melaksanakan Pos Pendengaran mengesan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger menghampiri kawasan tebing Sungai Golok.
Menurutnya, pemandu kenderaan itu kemudian dilihat menghanyutkan tong-tong dipercayai berisi petrol yang diikat dengan tali sebelum ia ditarik dari sebelah Thailand.
“Anggota tentera terus bertindak menahan suspek yang merupakan seorang penduduk tempatan.
“Siasatan lanjut mendapati, taktik menghanyutkan tong berisi minyak petrol itu digunakan oleh penyeludup bagi mengelak bunyi enjin bot kedengaran ketika kegiatan penyeludupan dijalankan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 24 buah tong kosong, sebuah trak pikap jenis Ford Ranger dan beberapa barangan peribadi milik suspek yang dianggarkan bernilai lebih RM23,903 turut dirampas.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Tambahnya, lelaki itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk siasatan lanjut. – https://amiminerals.org/