Penunggang motosikal tular ragut beg tangan tak mengaku salah

WhatsApp Image 2025 04 22 at 11.55.04 AM

Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, pagi tadi.

GEORGE TOWN – Seorang penyelenggara penyaman udara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan jenayah curi ragut terhadap seorang wanita warga Indonesia, Khamis lalu dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, tertuduh, A.Thines, 25, tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri beg Longchamp berwarna biru gelap yang mengandungi wang tunai RM1,000, Iphone 7, pasport dan kad kredit milik Novita Badjo.

Tertuduh dituduh dengan sengaja menyebabkan ketakukan bahawa cedera serta merta akan berlaku terhadap mangsa dan perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di tepi jalan Jalan Kuala Kangsa di sini, 17 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan kes di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bukan satu kesalahan yang boleh dijamin, malah tertuduh turut berdepan satu lagi kes melibatkan jenayah curi yang sedang dibicarakan di mahkmah Balik Pulau.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi tertuduh dan tertuduh tidak dibenarkan menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diperintah untuk melapor diri di balai polis setiap bulan dan mahkamah menetapkan 28 Mei depan bagi sebutan semula kes. – https://amiminerals.org/