Pensyarah UM terkait isu hantar mesej jelik ditahan kerja

1b00289a 56f5 4996 b050 b719d7fb7658

UM memaklumkan bahawa pensyarah yang dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual, baru-baru ini telah diambil tindakan tahan kerja. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Universiti Malaya (UM) memaklumkan bahawa pensyarah yang dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual, baru-baru ini telah diambil tindakan tahan kerja.

Pusat Komunikasi Korporat UM menerusi kenyataannya berkata, tindakan berkenaan diambil di bawah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].

“UM akan terus memastikan persekitaran kampusnya selamat dan kondusif.

“Ia termasuklah dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan salah laku tanpa mengira jawatan atau status,”kata kenyataan itu.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap sebarang isu salah laku termasuk kes gangguan seksual melibatkan warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Merujuk kepada dakwaan kes melibatkan seorang profesor di UM, KPT menjelaskan bahawa siasatan rasmi sedang dijalankan oleh Unit Integriti UM sejak aduan diterima.

KPT berkata, pihak universiti telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi hak semua pihak terlibat. – https://amiminerals.org/