Penjenamaan semula BN, bina kembali identiti parti – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke 50 Tahun Barisan Nasional di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Tahun Barisan Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menjenamakan semula parti itu supaya ia selari dengan cabaran semasa dengan pendekatan proaktif, inklusif serta inovatif.

Ini kerana, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, parti itu mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman.

Jelasnya, pendekatan ‘brand humanization’ contohnya boleh memperkukuhkan usaha itu dengan menunjukkan sisi BN yang lebih mesra dan manusiawi.

“Pemimpin perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat. Sikap rendah hati ini akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.

“Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen dan pengisian media sosial. Sekaligus, mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda serta generasi digital,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, menuju 50 tahun kehadapan, BN perlu menyusun semula hala tuju dengan visi dan misi yang jelas, selaras dengan aspirasi Malaysia berpaksikan masa depan.

Katanya, dahulu pendekatan BN lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat.

“Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat.

“Pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan buat mereka yang aktif di lapangan. Kejayaan di Nenggiri dan Mahkota adalah tindakan yang tepat mengikut kehendak rakyat,”ujarnya.

Ahmad Zahid menambah, beliau yakin dengan gerak langkah baharu itu, BN mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional sekali gus mencorakkan hala tuju parti yang lebih kukuh dan berdaya saing. – https://amiminerals.org/