Penjenamaan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasyurkan 12 mei ini

WhatsApp Image 2025 04 30 at 11.23.16 PM

Ahmad Zahid (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, di Menara Dato Onn, malam ini. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dimasyhurkan pada 12 Mei ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemasyhuran secara rasmi dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang turut bertanggungjawab ke atas Mara.

“UMNO menyokong penjenamaan semula MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Ia sebahagian daripada pengiktirafan atas jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini malam ini.

Perbincangan turut memutuskan Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama akan diadakan pada 11 Mei ini di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL.

“Ia akan berlangsung bersempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79,”ujarnya.

Dalam masa sama, UMNO menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak.

“Terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga menang dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu (PDM).

“UMNO juga mengucapkan terima kasih kepada jentera parti komponen BN dan Friends of BN serta rakan-rakan Pakatan Harapan yang bekerja keras memenangkan calon BN,”tambahnya. – https://amiminerals.org/