Penjawat awam perlu lebih berhati-hati isu bendera, 3R

WhatsApp Image 2025 04 26 at 16.51.42

Wan Ahmad Dahlan bergambar pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani dan Majlis Sambutan Hari Raya Madani JPA bersama penduduk Kampung Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini.

KUALA PILAH – Kesemua penjawat awam dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila melibatkan perkara yang sensitif kepada negara termasuk isu berkaitan Jalur Gemilang supaya kesalahan sama tidak berulang kembali.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, isu berkaitan Jalur Gemilang dilihat mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak.

“Perkara ini (paparan salah Jalur Gemilang) sebenarnya seolah-olah bersambung-sambung. Sebelum ni pihak akhbar, sekarang ini di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Jadi nasihat saya kepada penjawat awam supaya kita lebih berhati-hati apabila melibatkan perkara-perkara yang ada sensitiviti kepada negara seperti bendera atau pun perkara-perkara menyentuh 3R (raja, agama dan kaum).

“Kerana ini pasti akan berlaku satu keadaan banyak pihak yang tidak berpuasa hati. Sebagai contoh bendera, bendera merupakan satu kemegahan kepada kita yang patut kita julang, kita jaga dengan sebaik mungkin,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani, dan Majlis Sambutan Hari Raya Madani Jabatan Perkhidmatan Awam bersama penduduk Kampung Seri Menanti, di sini hari ini.-https://amiminerals.org/