PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan seorang penjawat awam kerana disyaki mengemukakan lima tuntutan mengandungi butir matan palsu berkaitan pembelian perkhidmatan melalui pesanan kerajaan.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi di pejabat SPRM Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan.
“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak Jun 2020 sehingga Februari 2021.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja-kerja cetakan laporan yang tidak wujud.
“Tindakan itu dilakukan dengan memanipulasi tandatangan pegawai dalam membuat perolehan yang tidak sah tanpa pengetahuan dan tandatangan pengurus projek serta pegawai yang berkaitan,” katanya tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan. – https://amiminerals.org/