Penjajaran Pelan Transformasi TLDM perkukuh pertahanan negara

KD LEKIR

ANTARA aset TLDM iaitu KD LEKIRyang telah berusia lebih 30 tahun.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menerusi salah satu cabangnya, iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberikan tanggungjawab memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara memandangkan negara tidak pernah terlepas daripada pelbagai ancaman.

Justeru, TLDM perlu melakukan transformasi terhadap semua aset pertahanannya bagi menentukan kesiapsiagaan mempertahankan negara tercinta ini.

Umumnya, armada TLDM terdiri daripada 15 kelas kapal yang memiliki peranan dan fungsi berbeza.
Majoriti kapal-kapal ini telah berusia antara 30 hingga 40 tahun dan dibina oleh tujuh negara berlainan iaitu United Kingdom, Jerman, Itali, Perancis, Sweden, Korea Selatan dan Malaysia.

Keadaan itu memberi cabaran kepada TLDM sendiri bagi menyelenggara dan memastikan kapal dan aset pertahanan ini berada di tahap kesiagaan yang tinggi bagi melaksanakan operasi dan pengawasan di perairan negara yang semakin kompleks persekitarannya.

Situasi geopolitik semasa kini berada dalam satu situasi yang dikenali sebagai VUCA, V bermaksud Volatility atau Perubahan Dinamik, Uncertainty (Ketidaktentuan), Complexity (Kompleks dan Saling Hubung kait) dan Ambiguity (Kekaburan/ Kesamaran).

Ia adalah satu situasi di mana senario keselamatan begitu dinamik dan sentiasa berubah-ubah dalam masa yang singkat serta sukar diramal.

Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berdepan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.

Isu ini boleh mengganggu-gugat aktiviti ekonomi maritim sekaligus menjejaskan ke­amanan perairan maritim negara. Ianya menuntut TLDM memberi tindak balas atau respons sewajarnya bagi mengatasi ancaman-ancaman yang disebutkan tadi.

Selain itu, kawasan maritim negara juga merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia di bawah pendekatan ‘Blue Economy’.

kd keris 6 scaled
KAPAL TLDM sentiasa bersiap siaga untuk sebarang
operasi melindungi kedaulatan perairan negara.

Menurut Institut Maritim Negara (MIMA), industri maritim telah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara.

Sektor minyak dan gas adalah penyumbang terbesar iaitu 20 peratus daripada KDNK negara, dan dianggarkan sebanyak 50 juta tan simpanan mineral berada di kawasan maritim negara.

Sektor perikanan pula telah menjana sebanyak RM10.8 bilion setahun dan negara dianggarkan kehilangan hasil perikanan sebanyak RM6 bilion setahun disebabkan aktiviti perikanan tidak sah atau illegal fishing oleh nelayan negara asing.

Sektor pelancongan maritim juga memainkan peranan penting dalam ekonomi. Sebagai contoh, sektor pelancongan di Sabah sahaja telah menjana sebanyak RM4.6 bilion pada tahun 2022.

Oleh itu, kepentingan keselamatan di kawasan maritim negara perlu diberi penekanan dan fokus sewajarnya oleh TLDM bagi memastikan kelesta­rian ekonomi negara dapat dikekalkan dan sete­rusnya dapat ditingkatkan.

Maka ia membuka rintis kepada perancangan Pelan Transformasi TLDM 15to5 yang merupakan pelan jangka panjang yang dapat mengatasi cabaran dan kekangan dihadapi TLDM bagi pe­ngurusan keusangan aset.

Ia dilaksanakan melalui pengurangan dari 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal yang baharu iaitu Kapal Selam, Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS), Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), Kapal Misi Pesisir (LMS) dan Kapal Sokongan Pelbagai Guna (MRSS).

Untuk makluman, rancangan asal Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah dibentangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kini Tan Sri Abdul Wahid Omar) pada 21 Mac 2016, seterusnya kepada Perdana Menteri ketika itu pada 22 Mac 2016 serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 4 Mei tahun yang sama.

Seterusnya, pelan ini telah dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 2017.

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform)

Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah direka bentuk dengan memfokuskan tiga elemen utama iaitu People, Process dan Platforms atau 3P.

Ketiga-tiga elemen tersebut merupakan tunjang kepada transformasi TLDM merangkumi pembangunan dan pengurusan sumber manusia, proses pelaksanaan yang efisien dan berkesan serta peningkatan keupayaan dan jumlah platform bagi melaksanakan tugas dan misi.

Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah digarap dengan tujuan agar TLDM berupaya untuk terus menunaikan tanggungjawabnya dalam melaksa­nakan operasi dan tugasan-tugasan penting bagi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim negara.

Walau bagaimanapun, perubahan dalam lan­dskap geostrategik yang semakin kompleks, kekangan kewangan di dalam bajet pertahanan serta cabaran dalam industri melibatkan pemain industri dari dalam dan luar negara telah menyebabkan pelan yang dihasilkan lima tahun dahulu perlu dibuat penyesuaian sewajarnya.

TLDM telah melaksanakan penstrukturan semula sebagai usaha untuk terus memperkukuh badan ketenteraan ini sejajar perkembangan semasa.

Oleh demikian, penjajaran semula rancangan asal bagi elemen Platforms di dalam Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah dilaksanakan.

MTL 7553 scaled
KD MAHAWANGSA merupakan
salah sebuah aset milik TLDM.

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) atau RMN 15to5 Transformation Programme Realignment (Platform) dibuat dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan keperluan mendesak TLDM terhadap aset-aset yang memiliki keupayaan peperangan berikutan kelewatan penerimaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya memperkasakan keupayaan peperangan TLDM ke tahap yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, pelaksanaan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) dijangka bakal memberi impak positif berikut:

1.Peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan Armada TLDM.
Ia bermakna penggantian aset usang dan kemasukan aset baharu melalui Pelan Phase-In and Phase-Out (PIPO) yang dikemas kini akan dapat meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Armada TLDM, sejajar dengan pelan pembangunan keupayaan perkhidmatan lain.

2.Pengurusan Armada TLDM yang lebih efektif.
Perolehan aset baharu berdasarkan kejayaan perolehan Kapal Misi Pesisir Batch Satu (LMSB1) dan proses perolehan Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) telah menjadi penanda aras di masa hadapan, sekali gus mampu menjadikan pengurusan Armada TLDM kini lebih efisien di samping mampu mengatasi permasalahan kepelbagaian peralatan dan alat ganti yang dihadapi sebelum ini.

3.Mengurangkan pengaliran keluar dana.
Proses pembinaan kapal-kapal baharu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara limbungan tempatan dan luar negara. Penggunaan pendekatan ini secara tidak langsung akan memperkasakan industri pertahanan negara ke arah self-sustainability (kemampanan kendiri) pada masa hadapan dan mengurangan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asal (OEM) luar negara.

4.Penggunaan pendekatan penjimatan kecekapan di dalam pengurusan keupayaan TLDM.
Peningkatan commonality atau persamaan di dalam aset-aset TLDM akan menjurus kepada penjimatan kos, masa dan tenaga di dalam aspek operasi, latihan dan logistik. Pendekatan ini akan memupuk pelaksanaan budaya kerja cekap, teratur dan efisien dalam pengurusan kapal-kapal TLDM di masa hadapan.

5.Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) bagi Domain Maritim.
Peningkatan keupayaan TLDM yang dibangunkan bagi Domain Maritim melalui pelan penjajaran ini mengambil kira enam ciri-ciri AMH yang telah digariskan iaitu Kebersamaan, Kebolehoperasian, Berasaskan Teknologi, Berorentasikan Misi, Kecekapan Logistik dan Keupayaan untuk Beroperasi Serentak di Dua Wilayah.

Elemen kesalinghubungan antara TDM dan TUDM juga menjadi aspek yang penting dalam pembangunan keupayaan TLDM bagi AMH untuk mencapai objektif ‘kebersamaan’.

Kejayaan dan Perkembangan Semasa

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) telahpun diperhalusi dengan terperinci oleh TLDM bermula tahun 2023.

tldm heli scaled
ANTARA aset TLDM yang digunakan bagi tujuan latihan dan operasi.

Hal ini kerana secara dasarnya, TLDM sentiasa terus komited terhadap rancangan perolehan aset baharu bermula pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK yang seterus­nya, seiring dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM kepada platform yang dibangunkan.

Secara asasnya, menerusi peruntukan kewangan telah diluluskan dalam RMK-11 dan RMK-12, TLDM berjaya memperoleh empat aset LMSB1, tiga Helikopter Operasi Maritim (HOM) dan 19 bot tempur dikenali sebagai Fast Interceptor Craft (FIC).

Meskipun perolehan enam aset LCS tidak berjaya diserahkan kepada TLDM dalam masa terdekat, kerajaan bersetuju untuk meneruskannya dengan penurunan kepada lima buah melalui perjanjian perolehan dengan kerajaan dan penyerahan fizikal platform pertama dijadualkan pada Ogos 2026.

Selain itu, rancangan perolehan aset baharu TLDM seperti pembelian dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS), tiga Kapal Misi Pesisir Batch 3 (LMSB3), perolehan empat Helikopter Anti Kapal Selam Dan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang RMK-13.

Perkembangan itu menunjukkan perolehan aset-aset baharu akan diteruskan oleh TLDM sehingga RMK-15 dan seterusnya bagi memperkasakan pertahanan negara di samping menjamin kedaulatan negara daripada digugat musuh pada setiap masa.-Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *