Peniaga warga asing jual barang kawalan kecundang

warga asing

Penguat kuasa KPDN menyita barang kawalan tanpa permit di premis perniagaan warga asing dalam operasi di sekitar Brickfields, semalam.

KUALA LUMPUR – Taktik licik segelintir peniaga warga asing berpura-pura tidak tahu berhubung permit penjualan barang kawalan tidak berkesan apabila dikenakan tindakan menerusi Ops Kita Gempur di sekitar Brickfields, di sini malam tadi.

Kegiatan itu berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam operasi bersepadu yang dijalankan bermula pukul 9 hingga 11 malam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, sebanyak lapan premis perniagaan dikendalikan warga asing diperiksa melibatkan kedai runcit dan restoran.

“Hasil pemeriksaan, rata-rata memberikan alasan tidak tahu bahawa penjualan barang kawalan memerlukan permit meskipun telah beroperasi beberapa tahun.

“Kita difahamkan, mereka dapat barangan ini daripada pembekal sekitar dan kita akan lakukan siasatan lanjut,”katanya selepas meninjau operasi yang dijalankan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Mohd. Shahran berkata, sebanyak empat kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Peraturan 3(1) dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Sebanyak empat premis perniagaan dan sebuah restoran dikenakan tindakan sita kerana tiada permit menyimpan serta memiliki bagi kegunaan memasak melebihi daripada kuantiti yang dibenarkan.

“Sitaan melibatkan gula, tepung, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) termasuk dokumen perniagaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,500,”ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak enam kompaun dikeluarkan kepada peniaga ekoran gagal mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan.

“Masing-masing tiga kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1973 dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM3,000,”ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pihak JIM berjaya menahan seramai 15 warga asing terdiri daripada 13 lelaki Bangladesh dan dua lelaki Pakistan termasuk seorang majikan berusia 20 hingga 50 tahun.

“Dua lagi majikan yang merupakan pasangan suami isteri warga tempatan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

“Selain itu, tujuh notis kompaun dan empat notis penutupan premis dikeluarkan DBKL kerana melanggar akta berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT),”jelasnya.

Justeru, Mohd. Shahran berkata, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan barang kawalan.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui portal e-aduan KPDN atau WhatsApp di talian 019-2794317. – https://amiminerals.org/.