Pengembara British hilang di Kuala Lumpur

Jordan Johnson Doyle hilang

Jordan Johnson-Doyle dipercayai hilang semasa mengembara secara bersendirian di Ibu negara, lokasi di sebuah premis pusat hiburan di Bangsar pada 27 Mei lepas. – Foto Daily Mail UK

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga British disyaki hilang ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu kota, lokasi terakhir dikesan ketika berada di sebuah premis hiburan di Bangsar pada 27 Mei lalu.

Menurut laporan akhbar Britain, Daily Mail, Jordan Johnson-Doyle, 25, kali terakhir berkomunikasi dengan ahli keluarganya pada 27 Mei lalu apabila dia menghantar gambar poster aktiviti acara kuiz yang dianjurkan oleh pusat hiburan kepada rakannya sekitar pukul 8 malam.

Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang.

Bukan itu sahaja, menurut ibunya, Leanne Burnett, kali terakhir mereka berhubung bersama anaknya Jordan adalah pada 26 Mei, sejak itu tiada lagi berita perkembangan diterima oleh ibunya.

Perasaan gusar mula timbul apabila gagal mengesan telefon anaknya melalui sistem ‘Find My iPhone’, dengan lokasi terakhir menunjukkan berhampiran blok kediaman di kawasan tersebut.

“Saya berasa sangat cemas dan bingung. Saya hanya mahu ke sana, mencarinya dan membawanya pulang ke rumah,” ujar Leanne

Leanne memaklumkan bahawa segala usaha untuk menghubungi anaknya melalui pelbagai platform seperti media sosial dan aplikasi mesej tidak berhasil, sebelum telefon bimbit anaknya didapati tidak lagi aktif pada 30 Mei.

Pihak berkuasa di United Kingdom dan Konsulat British di Kuala Lumpur telah menerima laporan rasmi berhubung kejadiaan ini.

Setakat ini, pihak polis di Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan. – https://amiminerals.org/