Penganggur menyamar polis rompak wanita meringkuk 12 tahun dalam jel

054153800 1536904301 549e7051882a8 1

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang penganggur menyamar sebagai anggota polis dengan merompak dua wanita warga Indonesia berbalas apabila dia dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Khairee Mat Yasin, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak dua buah telefon bimbit, tablet pintar dan wang RM270 milik Anis Md. Mollah di Jalan Kepong di sini pukul 9.20 pagi pada 20 Oktober lalu.

Tertuduh turut didakwa merompak seorang lagi warga Indonesia, Ijum Sholehah dan melarikan telefon bimbit, tiket penerbangan ke Indonesia, pasport dan wang tunai RM600.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Segambut di sini pukul 10.30 pagi pada 5 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh menyamar sebagai anggota polis ketika merompak kedua-dua mangsa. – https://amiminerals.org/