Penduduk Taman Putra Harmoni mula bergilir periksa kediaman

WhatsApp Image 2025 04 04 at 10.50.44

Mangsa kebakaran mula dibenarkan masuk semula ke kediaman masing-masing secara bergilir selepas insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights. Foto oleh FARIZ RUSAIDO

SUBANG JAYA – Penduduk di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, dibenarkan membuat semakan kediaman masing-masing selepas insiden kebakaran paip gas yang berlaku pada Selasa lalu.

Difahamkan, proses berkenaan bermula pukul 10.20 pagi tadi dengan setiap rumah hanya diwakili dua orang ahli keluarga.

Langkah ini bertujuan membolehkan penduduk membuat pemeriksaan dan semakan terhadap kediaman masing-masing susulan kejadian berkenaan.

Terdahulu, dilaporkan bahawa sebanyak 85 buah rumah yang terjejas akibat insiden tersebut telah disahkan selamat dan penghuni mula dibenarkan pulang sejak malam semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengesahkan keselamatan kawasan terlibat, termasuk penyambungan semula bekalan air dan elektrik.

“Dari semasa ke semasa, kita akan terus memantau keadaan kerana sehingga kini terdapat lebih kurang 115 rumah yang telah disahkan selamat oleh JBPM,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau memaklumkan bahawa seramai 1,254 mangsa daripada 308 keluarga telah dikenal pasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dengan dua daripada mereka kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang akibat komplikasi respiratori.

Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 630 mangsa daripada 157 keluarga kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, manakala baki 624 mangsa daripada 151 keluarga tidak menetap di PPS. – https://amiminerals.org/