Penduduk Langkawi diminta waspada air pasang besar

LANGKAWI AIR PASANG BESAR

Mohd Faezie (kiri) bersama anggota APM memberi pendedahan mengenai persediaan fenomena air pasang besar kepada penduduk di Kampung Bakau Kelibang, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Penduduk dan pelancong di pulau peranginan ini diminta supaya berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula tengah malam ini hingga Ahad ini.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Mohd Faezie Abdul Aziz berkata, orang ramai perlu peka dengan keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

Katanya, susulan ramalan itu, pihaknya melancarkan Op Ramah bagi memberi kesedaran kepada penduduk di Kampung Bakau, Kelibang di sini yang dijangka terjejas.

“Terdapat kemungkinan kawasan itu akan dinaiki air semasa air pasang dan apa yang kita risaukan sekiranya berlaku pertembungan dengan hujan lebat kerana kita masih dalam fasa perubahan Monsun Timur Laut (MTL).

“Pusat kawalan operasi kita akan beroperasi selama 24 jam dengan 30 anggota yang bersiap sedia untuk menghadapi fenomena ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun kebiasaannya kawasan pantai tidak terjejas, pasukan penyelamat pantai tetap bersiap siaga.

“Kita juga meminta pengunjung untuk sentiasa peka dengan bendera amaran dan arahan oleh pasukan penyelamat pantai,”ujarnya.

Beliau turut meminta penduduk di kawasan tersebut untuk menyediakan beg ‘ready to go’ yang diisi dokumen penting, lampu suluh dan sedikit makanan sebagai persediaan sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *