Penduduk Kampung Lereng Bukit tidak mahu pindah

Zamir baju biru

Zamir (baju biru) bercakap pada sidang media yang turut dihadiri penduduk Kampung Lereng Bukit, hari ini.

MIRI – Penduduk Kampung Lereng Bukit di sini tidak akan berpindah meskipun ke penempatan baharu yang dibangunkan kerajaan.

Jurucakap mereka, Zamir Reza Wan Salim Tuanku Talbu sebaliknya meminta agar kerajaan mencari penyelesaian alternatif terhadap isu tanah runtuh yang melanda kampung terbabit.

“Kami akan mengemukakan petisyen daripada penduduk kampung yang menolak cadangan penempatan baharu kampung ini,”katanya pada sidang media di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh penduduk kampung berkenaan.

Ia susulan kenyataan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa sudah ada keterbukaan hati penduduk untuk berpindah dan tinggal di tempat yang lebih selamat dan selesa.

Menurut Abang Johari, ia susulan salah seorang penduduk berkata kepadanya ‘Pindahkan saja saya’, ketika lawatannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah yang menempatkan penduduk-penduduk dari kampung tersebut ekoran tragedi tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa pada 29 Januari lalu.

Justeru beliau berkata, dengan kesediaan penduduk di kawasan Bukit Kanada itu untuk berpindah pada kali ini, kerajaan negeri akan membuat kajian untuk mengadakan penempatan semula di satu kawasan yang rata dan tidak jauh dari pusat bandar.

Bagaimanapun, Zamir menegaskan bahawa kenyataan salah seorang penduduk yang meminta dipindahkan itu adalah tidak menggambarkan keseluruhan penduduk mahu berpindah dan meminta kerajaan mengadakan perbincangan terbuka bersama penduduk bagi mencari penyelesaian adil. – https://amiminerals.org/