Penduduk derita bau busuk, kilang ayam diarah henti operasi

WhatsApp Image 2025 04 22 at 10.06.10 AM

Kakitangan JAS melakukan Penahanan Operasi Kelengkapan ke atas sebuah kilang memproses ayam di Kulim pada kelmarin. Foto JAS KEDAH

KULIM – Sebuah kilang memproses ayam di sini diarah menghentikan operasi pada kelmarin berikutan pencemaran bau busuk sehingga mengundang ketidakselesaan kepada penduduk sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung perkara itu dan siasatan mendapati dakwaan tersebut berasas.

“Bau busuk dikesan di dalam kawasan premis yang dipercayai terhasil daripada longgokan sisa sembelihan ayam dan simpanan sangkar ayam,”katanya di sini hari ini.

Katanya, premis berkenaan dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan mengadakan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian di dalam premis semasa aktiviti memproses ayam mentah dijalankan.

Beliau berkata, tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.

“Premis diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.

“Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 dikeluarkan kepada premis untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK itu,” ujarnya.

Tambahnya, premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil oleh premis.

“Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan memastikan tidak menyebabkan pencemaran kepada alam sekeliling. Penyelenggaraan kawasan kerja juga perlu untuk mengelakkan bau busuk,”katanya. – https://amiminerals.org/