WASHINGTON – Bumi akan mempunyai populasi cuma 100 juta menjelang 2300 apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) menghapuskan pekerjaan manusia, lapor portal berita The Sun kelmarin.
Seorang pakar memberi amaran bahawa kemajuan mendadak AI akan menyebabkan bandar-bandar utama di dunia akan menjadi bandar ‘hantu’ kerana kekurangan penduduk.
Pakar sains komputer Universiti Negeri Oklahoma, Profesor Subhash Kak meramalkan kos tinggi sehingga tidak munasabah untuk pasangan mempunyai anak, manakala semua bentuk pekerjaan akan beralih kepada AI
Katanya, New York di Amerika Syarikat (AS) dan London, Britain akan menjadi bandar raya hantu dan terbiar.
Situasi serupa diramal menimpa bandar-bandar lain, tambahnya.
Kak merujuk AI sebagai punca bencana tersebut dan meramalkan populasi dunia akan menyusut kepada hampir saiz penduduk Britain sekaran iaitu 70 juta orang.
“Komputer atau robot tidak akan mempunyai kesedaran, AI akan melakukan semua perkara yang manusia lakukan dan hampir semua pekerjaan boleh diganti.
“Ini akan memusnahkan masyarakat dunia.
“Terdapat ahli-ahli demografi meramalkan kesan buruk teknologi AI di mana populasi dunia akan merosot dan boleh menyusut kepada serendah 100 juta orang di seluruh planet Bumi pada 2300 atau 2380.
“Mungkin hanya sekitar 100 juta, sekarang ini populasi dunia kira-kira 8 bilion (orang),”katanya.
“Jadi seluruh dunia akan musnah. Seperti yang saya bincangkan dalam buku saya, saya rasa orang ramai benar-benar tidak tahu impak AI,”ujarnya yang merupakan penulis buku berjudul ‘The Age of Artificial Intelligence’. – AGENSI