TANAH MERAH – Seorang pemuda ditemui rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Lorong Nimar 500, Taman Mas, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Mohammad Nur Syahid Faridzuan Mohd. Syukri, 27, meninggal dunia selepas dipercayai tidak sempat turun dan keluar rumah berikutan api marak di tingkat bawah.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.59 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami dapati seorang lelaki ditemui rentung di tingkat atas rumah berkenaan semasa tiba di lokasi. Mangsa dikatakan sedang tidur di tingkat atas manakala ibu bapanya keluar beli barang.
“Mangsa tersedar selepas sesak nafas akibat asap tebal tetapi tidak sempat keluar untuk selamatkan diri. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Iteenews