Pemuda menangis dijel 30 tahun, 12 sebatan edar dadah di KLIA

WhatsApp Image 2024 12 06 at 2.32.07 PM

Bretley kelihatan menangis selepas prosiding keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang bekas penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menangis selepas dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana  mengedar syabu seberat 4.29 kilogram (kg) empat tahun lalu.

Tertuduh, Bretley Letu Anak Micheal Gambit, 23, kemudian dipeluk ahli keluarganya selepas hukuman diputuskan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.

Keputusan dibuat selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Hakim Latifah dalam penghakimannya menegaskan pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian dengan mahkamah mendapati tertuduh seperti sudah biasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“(Dan) secara jelas tertuduh mempunyai kaitan dengan beg (berisi dadah) itu. Ia turut mengambil kira jumlah dadah yang banyak dan semestinya bukan untuk kegunaan sendiri. Tertuduh juga jelas mahu membawa dadah itu ke Miri, Sarawak,”katanya.

Bretley yang menuntut dalam jurusan Penyelenggaraan Jentera Berat di IKBN Miri sebelum ini didakwa mengedar methamphetamine seberat 4.29kg di Pejabat Bahagian Jenayah Narkotik Daerah, Aras 3, KLIA Sepang, kira-kira pukul 5 petang, 22 Julai 2020.

Terdahulu, Peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri memohon hukuman diringankan kerana anak guamnya merupakan pesalah muda berusia 19 tahun ketika kejadian selain tidak mempunyai rekod jenayah.- https://amiminerals.org/