PETALING JAYA – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika beriadah Lembah Elmina 3, Shah Alam pada 27 Mei lalu ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, lelaki yang dikenali sebagai Mohd. Arif Iskandar Samsudin, 21, ditemui di rumah neneknya di Melaka semalam tanpa sebarang kecederaan.
Jelas Mohd Hafiz, penemuan itu dimaklumkan oleh salah seorang saudara mangsa yang menetap di Melaka.
“Ayah mangsa menerima maklumat daripada saudaranya yang memaklumkan mangsa dalam keadaan selamat di rumah neneknya di Melaka.
“Cuma perjalanan mangsa sampai ke Melaka itu masih belum diketahui. Mangsa juga telah dibawa oleh ahli keluarga untuk dapatkan rawatan kesihatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Mohd. Ariif Iskandar hilang di kawasan Lembah Elmina 3, Jalan Metafasa U16/3, Shah Alam dengan memakai pakaian sukan berwarna hitam.
Laporan kehilangan pemuda itu dibuat oleh ibunya selepas mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira 7 pagi pada 27 Mei lalu.-https://amiminerals.org/