SUBANG JAYA – Seorang pemilik bengkel parah selepas ditikam pelanggannya dalam kejadian di sebuah bengkel di Good Year Court, Subang Perdana, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 5.30 petang.
Katanya, suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun pada mulanya datang ke bengkel tersebut untuk membaiki masalah brek kenderaannya.
“Selepas kerosakan selesai dibaiki, suspek membuat pembayaran dan meninggalkan bengkel.
“Namun, dua jam kemudian suspek kembali dan berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum suspek bertindak menyerang mangsa dengan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, akibat serangan itu mangsa lelaki tempatan berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah di leher dan dada.
Tambah Wan Azlan, mangsa lelaki telah cuba mendapatkan bantuan dengan berjalan kaki sejauh kira-kira 200 meter menuju ke sebuah klinik swasta berhampiran.
“Bagaimanapun, mangsa pengsan di koridor klinik tersebut sebelum sempat menerima rawatan.
“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, suspek yang bertindak melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Alza telah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan suspek segera ditahan,” katanya.-https://amiminerals.org/.