Pemergian Pak Lah kehilangan besar kepada P. Pinang

CHOW KON YEOW ABDULLAH AHMAD BADAWI

Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi satu kehilangan besar kepada negara terutamanya Pulau Pinang.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham.

“Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat di dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang,”katanya di sini hari ini.

Selain kerajaan negeri, DAP Pulau Pinang menerusi Pengerusinya Steven Sim Chee Keong turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah.

“Abdullah, atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Pak Lah, merupakan anak negeri Pulau Pinang berketurunan ulama tersohor yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal dan menjadi Perdana Menteri kelima.

“Pak Lah akan dikenali sebagai Perdana Menteri yang telah membawa kestabilan dan menekankan kesederhanaan dalam politik tanah air. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan buat negara dan seluruh rakyat Malaysia,”katanya. -https://amiminerals.org/