KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai makan wanita maut selepas motosikal Yamaha Ego Avantiz dinaikinya bergesel dengan sebuah motosikal ditunggangi seorang pelajar tingkatan enam berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 10.25 pagi itu, mangsa, Mazenah Mamat, 50, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Husaini Hussin,18, yang menaiki motosikal jenis Demak DVS pula cedera parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Mazenah dikatakan dalam perjalanan ke pusat bandar raya ini dari rumahnya di Kampung Raja Baram, Chendering di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki Mazenah dikatakan tiba-tiba dihimpit motosikal dinaiki Muhammad Amirul Asyraf Husaini sebelum bergesel.
“Impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua motosikal terjatuh di atas jalan raya,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, mayat Mazenah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, Muhammad Amirul Asyraf Husaini pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama dengan sebuah ambulans. – https://amiminerals.org/