PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan Rapid KL memaklumkan bahawa proses pembaharuan pas My50 akan ditangguh sementara waktu.
Menerusi satu kenyataan, Prasarana berkata penangguhan itu bermula 23 Disember ini sehingga 31 Januari depan di semua kaunter khidmat pelanggan rel, Bas Rapid Transit (BRT) dan hab bas Rapid KL.
Jelasnya, penangguhan sementara itu adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan sistem penjualan pas My50 bagi meningkatkan keupayaan sistem untuk menampung jumlah pengguna pas My50 yang semakin bertambah.
“Walau bagaimanapun, pembelian pas My50 yang baharu masih boleh dilakukan seperti biasa di semua kaunter tersebut.
“Bagi pengguna yang masih mempunyai baki hari dalam pas My50 sedia ada, perlu menghabiskan baki hari tersebut terlebih dahulu sehingga pas tamat tempoh dan membuat pembelian pas baharu selepas itu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Prasarana berkata, pihaknya sangat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pengguna sepanjang tempoh ini.
“Kami amat berterima kasih atas kesabaran dan kefahaman yang telah diberikan.
“Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03 -7885 2585 atau merujuk kepada laman media sosial Rapid KL untuk maklumat terkini,”ujarnya. – https://amiminerals.org/