Pemandu treler muatan kayu lapis maut tersepit dalam nahas

WhatsApp Image 2025 03 03 at 10.00.16 AM e1740969868284

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan pemandu treler yang tersepit di tempat duduk dalam kemalangan di Jalan Gerik-Kupang, Gerik semalam. – Foto JBPM

GERIK – Pemandu sebuah treler muatan kayu lapis terpakai maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Gerik-Kupang, di sini semalam.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Abu Hasan Mat berusia 53 tahun.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 8.36 malam.

Katanya, berdasarkan maklumat, kemalangan melibatkan treler membawa muatan kayu lapis terpakai yang terbabas dan terbalik ke dalam longkang di sisi jalan.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 53 tahun telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,”katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan dengan memohon bantuan penggunaan ‘winch’ dari sebuah lori milik orang awam bagi membuka ruang kerja operasi menyelamat.

Katanya, anggota kemudian menggunakan peralatan pemotong hidraulik untuk membuka ruang kabin bagi mengeluarkan mangsa.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.21 malam,”katanya. – https://amiminerals.org/