Pemandu teksi terbakar terima faedah Perkeso sepanjang hayat

WhatsApp Image 2024 12 10 at 3.32.29 PM

Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir menyampaikan dua faedah Perkeso kepada P. Pachaiyamah di Taman Muhibah, Merlimau, Jasin, Melaka.- Foto AMRAN MULUP / KOSMO!

JASIN – Waris pemandu teksi yang rentung bersama dua penumpang dalam kemalangan jalan raya di Kampung Lanchang, Jalan Jasin-Merlimau di sini hujung bulan lalu menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Melaka, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, mendiang S. Subramaniam, 71, menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM837 sebulan, selain pembiayaan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM3,000 yang sudah dibayar secara sekali bayar pada 6 Disember lalu.

Menurutnya, hasil semakan mendapati mangsa merupakan pencarum aktif di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) tajaan kerajaan negeri sejak 2017.

“Sejurus mendapat tahu kemalangan yang menimpa mangsa, Skuad Perkeso Prihatin Melaka telah pergi ke rumah waris mendapatkan dokumen berkaitan dan telah memutuskan ia sebagai bencana kerja.

“Ini sekali gus membolehkan warisnya iaitu isteri mendiang, P. Pachaiyamah menerima faedah yang diperuntukkan untuk tempoh sepanjang hayat.

“Kami melaksanakan tanggungjawab kepada mana-mana individu yang mencarum dengan Perkeso melalui SPS dan antara faedah yang diperoleh bila ditimpa kemalangan cedera atau meninggal dunia dapat mengurangkan beban keluarga,”katanya ketika ditemui di Taman Muhibah, Merlimau hari ini.

Sementara itu, anak mendiang, S. Saravanan, 38, berkata, faedah diperoleh setiap bulan itu bakal digunakan untuk membiayai rawatan ibunya yang menghidap darah tinggi, kencing manis dan jantung, selain perbelanjaan harian.

“Faedah yang diperoleh bermula bulan ini cukup melegakan untuk ibu saya dan saya ucapkan terima kasih kepada Perkeso yang memudahkan segala urusan,”katanya. – https://amiminerals.org/