Pemandu Perodua Myvi maut selepas bertembung Mitsubishi Triton

WhatsApp Image 2024 12 10 at 3.25.05 PM

Keadaan Perodua Myvi yang terlibat kemalangan maut di KM93 Jalan Changkat Jering-Kg. Koh di Sitiawan hari ini. – Foto JBPM

MANJUNG – Seorang pemandu Perodua Myvi maut setelah kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah trak pikap di Kilometer 93 Jalan Changkat Jering-Kg. Koh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 12.05 tengah malam.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati sebuah motokar Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki Cina berumur 41 tahun datang dari arah Lekir menuju ke Manjung.

“Ketika sedang mara, datang sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki Cina berusia 28 tahun dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan ketika melalui selekoh.

“Kenderaan itu masuk ke laluan motokar Perodua Myvi lalu mengakibatkan berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasbullah berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kemalangan manakala pemandu Mitsubishi Triton mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Seri Manjung.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441 atau 05-6899072. – https://amiminerals.org/