Pemandu Mitsubishi Lancer pandu bahaya di Batu Feringghi ditahan

Pemandu Mitsubishi Lancer ditahan polis semalam.

Pemandu Mitsubishi Lancer ditahan polis semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer yang memandu secara melulu dan melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Batu Feringghi di sini baru-baru ini mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pemandu berkenaan ditahan susulan tular satu klip video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan memaparkan kereta itu dipandu secara merbahaya di jalan berkenaan.

”Video klip dashcam ini tular pada 6 November lalu dan berdasarkan masa dan tarikh rakaman tersebut, kejadian berlaku pada 3 November lalu, kira-kira pukul 7.30 pagi.

”Polis menahan pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer berkenaan semalam selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut,”katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular kejadian seorang pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer yang memandu secara merbahaya dan memotong kenderaan lain di garisan berkembar lalu melanggar sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai.

“Pihak polis memohon kerjasama saksi yang melihat kejadian dan pemilik rakaman kamera papan pemuka tersebut agar tampil membantu siasatan atau hubungi Inspektor Shahrul Nizam Abdullah di talian 010-9771517,”ujarnya. -https://amiminerals.org/