Pemandu mabuk, penunggang samseng antara ditahan SJR di KL

Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan

Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan pada motosikal yang telah diubahsuai pada Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang diadakan di sekitar Jalan Tun Razak, baru-baru ini. Foto SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 967 saman dikeluarkan menerusi Op Bersepadu, Op Tutup serta Op Mabuk yang dijalankan serentak di beberapa jalan di ibu negara semalam hingga pukul 5 pagi tadi.

Tinjauan Kosmo! di lokasi sekatan mendapati beberapa penunggang motosikal bertindak melawan arus
di jalan sesak kerana mahu lolos sekatan jalan raya (SJR) dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Selain itu, beberapa penunggang motosikal disekat untuk pemeriksaan menggunakan alat untuk mengukur kadar bunyi ekoran bunyi ekzos motosikal yang bising selain melakukan ubah suai kenderaan mereka.

Lima lokasi yang terlibat dengan SJR adalah Jalan Bangsar; Jalan Sultan Azlan Shah menghala Sentul; Jalan Sultan Azlan Shah menghala Chow Kit; Jalan Tun Razak menghala Ampang dan Jalan Tun Razak menghala Bulatan Pahang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata, operasi itu melibatkan 200 pegawai dan anggota JSPT, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar bermula pukul 10 malam semalam hingga 5 pagi tadi.

“Dalam operasi ini, sebanyak 2,397 kenderaan diperiksa dengan 967 saman dikeluarkan oleh JSPT, JPJ serta JAS atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta ubah suai kenderaan.

“Kami turut menyita 29 kereta kerana ubah suai strutur asal kenderaan. Selain itu, lapan individu berusia antara 18 hingga 28 tahun turut ditahan kerana didapati positif dadah dan 13 individu berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan kerana mabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai operasi berkenaan di Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir, Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dan Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Erick Jusiang.

Jelas Azry, objektif utama tiga operasi berkenaan dijalankan adalah untuk menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan bagi memastikan pengguna jalan raya terutama penunggung mematuhi undang-udang.

“Operasi ini kerap dijalankan iaitu setiap minggu di sekitar pusat bandar selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung kacau ganggu dengan bunyi bising (ekzos) serta aksi membahayakan pengguna jalan raya lain (samseng jalanan).

“Dalam operasi ini, pihak JAS ada membuat pemeriksaan bunyi ekzos dan mendapati banyak motosikal yang diubah suai melebihi tahap desibel bunyi ditetapkan,” ujarnya. – Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *