TAIPING – Seorang pemandu lori ‘bonded’ maut setelah kenderaan berat dipandunya itu melanggar belakang sebuah treler yang kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian di Kilometer (KM) 243 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran Trong di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.50 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong tiba di lokasi pada pukul 3.21 pagi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah lori ‘bonded’ telah melanggar bahagian belakang sebuah treler dengan treler tersebut telah berlalu pergi dari lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berbangsa Melayu berusia 37 tahun iaitu pemandu lori ‘bonded’ tersebut telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir,”katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kelindan lori tersebut pula terselamat dalam nahas berkenaan.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut tamat sepenuh pada pukul 4.22 pagi. – https://amiminerals.org/