SEREMBAN – Polis mengambil keterangan dua saksi berhubung kemalangan mengakibatkan dua remaja maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta jenis Honda Jazz di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kemalangan itu tampil membantu siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat di lokasi kejadian sehingga mengakibatkan dua remaja maut tidak mempunyai lesen memandu. Buat masa ini keterangan pemandu kereta belum diambil kerana dia masih dirawat di hospital,”katanya ketika dihubungi di sini.
Mohamad Hatta berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan akan menjurus kepada kesalahan-kesalahan di bawah akta tersebut termasuk tiada lesen memandu.
Dalam kejadian 8.30 malam kelmarin, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal Modenas Kriss berumur 15 dan 16 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian. – https://amiminerals.org/