SHAH ALAM – Pemandu sebuah kereta Honda Civic yang ditahan kerana mengekori rapat sebuah ambulans di Kilometer 15 Lebuh Raya Persekutuan di sini, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini selepas hasil ujian kencing dilakukan terhadap suspek lelaki berusia 28 tahun tersebut.
Katanya, suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif benzo dan siasatan mendapati semasa kejadian suspek meminjam kenderaan rakannya,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, pemandu kereta itu telah dirujuk kepada bahagian narkotik untuk disiasat mengikut Ssksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd. Iqbal memaklumkan, penunggang motosikal yang turut dikesan melakukan aksi sama telah berjaya ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi juga di pekarangan IPD ini.
Bagaimanapun, penunggang berusia 38 tahun yang merupakan pembantu kedai didapati negatif dadah.
“Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan lengkap dijalankan pihaknya dengan kes disiasat Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan aksi kedua-dua lelaki tersebut mengekori rapat ambulans tular menerusi video berdurasi 42 saat.
Siasatan mendapati mereka bukan ahli keluarga atau mempunyai kaitan dengan pesakit dalam ambulans itu. – https://amiminerals.org/