JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing mengalami trauma selepas difitnah menculik seorang pelanggan baru-baru ini sehingga menyebabkan dia kehilangan punca pendapatan.
Bapa dua anak dikenali sebagai Wong, 54, berkata, sehingga kini dia masih menerima gangguan dan ugutan khususnya melalui panggilan telefon.
“Gambar saya dan kereta dipaparkan di media sosial. Lokasi saya berada turut dikongsikan. Saya juga terima panggilan daripada individu yang mendakwa ahli keluarga penumpang itu yang mahu berjumpa saya.
“Sekiranya enggan sesuatu akan berlaku ke atas diri saya. Saya telah membuat dua laporan polis bagi melindungi diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.
Menurut Wong, ekoran kejadian itu, dia berasa takut untuk keluar rumah dan bekerja sekali gus menyebabkannya kehilangan pendapatan RM200 hingga RM300 sehari.
Pada 18 Ogos lalu, polis mengesahkan tiada insiden cubaan menculik membabitkan pemandu e-hailing dan seorang penumpang wanita berusia 17 tahun pada pukul 4.50 petang, 11 Ogos lalu,
Kejadian itu berlaku disebabkan salah faham apabila pemandu menukar laluan kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan jalan tanpa memaklumkan penumpang sehingga menyebabkan penumpang bertindak terjun dari kereta tersebut. – Iteenews