ROM – Satu klip video memaparkan detik cemas sekumpulan pelancong cuba menyelamatkan diri selepas Gunung Etna yang mereka kunjungi tiba-tiba meletus, lapor akhbar The Sun UK.
Rakaman kejadian yang disiarkan di media sosial menunjukkan orang ramai berlari menuruni lereng dalam keadaan panik ketika gunung berapi itu memuntahkan asap hitam dan abu tebal ke ruang udara.
Letusan itu juga menghamburkan gas beracun, abu serta batu pada ketinggian beberapa kilometer ke atmosfera.
Pusat Pemantauan Abu Vulkanik Toulouse (VAAC) mengeluarkan amaran merah berhubung letusan itu sebelum menurunkannya kepada status jingga.
Sebilangan penerbangan di Lapangan Terbang Catania ditangguhkan sementara waktu susulan letusan tersebut.
Gegaran dirasai sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) semalam sebelum mencapai kemuncak tiga jam kemudian.
Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali berkata: “Beberapa letusan dengan intensiti yang semakin meningkat direkodkan sejak awal pagi semalam.”– AGENSI