Pelakon Tamil terkenal, Sivakumar maut terjatuh bersama ibu dari tingkat 11

WhatsApp Image 2025 04 26 at 07.38.43

Mendiang Sivakumar

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Tamil terkenal tempatan Sivakumar Jayabalan ditemukan maut bersama ibunya di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Cheras, di sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Aidil Bolhassan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Sivakumar, 48, dan ibunya yang berusia 76 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat 11 bangunan itu kira-kira 12.35 tengah hari, semalam.

Aidil berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.

Sivakumar mula mencipta nama menerusi program nyanyian realiti Astro Paadal Thiran pada tahun 2006 dan kemudiannya turut aktif sebagai pengacara termasuk di platform beli-belah Astro Go Shop.

Mendiang pernah mendirikan rumah tangga namun perkahwinan itu tidak berkekalan. Hasil perkahwinan tersebut, mendiang dikurniakan seorang anak lelaki.- https://amiminerals.org/