KUALA NERUS – Seorang pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi di sebuah universiti awam di daerah ini menyerahkan wang simpanan bapanya berjumlah RM64,200 kepada scammer selepas diperdaya konon terlibat dalam pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa terpedaya selepas dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah platform e-dagang pada 10 Januari lalu.
“Mangsa didakwa menjual produk kesihatan di platform e-dagang itu sehingga menyebabkan salah seorang pelanggan jatuh sakit. Panggilan kemudian disambungkan kononnya kepada pegawai polis. Kali ini pelajar universiti berkenaan didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pula.
“Mangsa diyakini kononnya waran tangkap dikenakan terhadapnya boleh dibatalkan sekaligus namanya dibersihkan dengan membuat bayaran tertentu. Pelajar itu melunaskan permintaan suspek berjumlah keseluruhan RM64,200,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, wang tersebut yang merupakan simpanan bapanya dimasukkan ke dalam tujuh akaun bank berasingan menerusi lapan transaksi antara 10 Januari hingga semalam.
“Mangsa mula sangsi apabila tiada perkembangan terhadap kesnya yang didakwa bakal disebut bermula 26 Mac lalu selain perlu diarah perlu membuat laporan terhadap suspek dalam tempoh setiap empat jam,”katanya. – https://amiminerals.org/