KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan pelajar yang memperoleh keputusan A penuh (‘straight’ A) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk menyambung jurusan perubatan di peringkat universiti.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengakui bimbang dengan trend penurunan minat pelajar terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilihat memberi kesan kepada industri perubatan.
“Saya menaruh sedikit kebimbangan kerana (STEM) merupakan aliran sains yang akhirnya akan menjadi ‘supply pipeline’ (laluan) kepada pelajar untuk mengambil jurusan perubatan.
“Justeru KKM, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu berusaha menarik kembali minat pelajar terhadap STEM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, Jalan Kelochor, di sini hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, beliau beranggapan bahawa adalah mustahak untuk menyuntik kembali minat pelajar terhadap STEM agar permasalahan daripada sudut sumber manusia di KKM dapat diatasi segera.
Menurutnya, langkah itu termasuk mengekalkan pakar-pakar dalam KKM selain menyegerakan pendekatan hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan.
“Sehubungan itu, penting untuk saya dan KKM memberikan sokongan berterusan terhadap STEM bagi memastikan kesuburan sektor perubatan di negara ini,” katanya. – https://amiminerals.org/