Pelajar SPM antara ditahan kes pecah pejabat

pecah rumah

Antara barangan yang dirampas berkait kes pecah pejabat di Kampung Baru Ampang, Ampang Jaya, 14 Disember lalu.

AMPANG JAYA – Seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara tujuh lelaki dan seorang wanita yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pecah pejabat di Kampung Baru Ampang, di sini, 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang juga pelajar bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai.

Kata beliau, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengarah syarikat lelaki berusia 36 tahun yang mendapati pejabatnya dipecah masuk.

Jelasnya, kerugian dialami mangsa mencecah RM150,000 termasuk wang tunai RM90,000 serta pelbagai barangan berharga.

“Siasatan mendapati tombol pintu pejabat telah diumpil dan ruang pejabat dalam keadaan berselerak.

“Antara barangan yang hilang termasuk komputer riba, telefon bimbit, kamera, topi keledar, wang tunai RM90,000, serta pelbagai mata wang asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas maklumat, Mohd Azam berkata, pihaknya menjalankan beberapa siri serbuan antara 17 Disember hingga semalam di kawasan Lembah Klang dan menahan lapan suspek berusia antara 17 hingga 41 tahun.

“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, komputer riba, topi keledar, mesin pelbagai jenama, mata wang asing, serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Semakan lanjut mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau antara dua hingga 24 kesalahan jenayah dan dadah, termasuk rekod masih dikehendaki polis manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah,” jelasnya.

Menurut Mohd Azam, modus operandi kumpulan ini adalah melakukan jenayah pada waktu awal pagi dengan menyasarkan premis dan kenderaan yang diletakkan di luar kawasan rumah.

“Siasatan juga mendapati kumpulan ini terlibat dalam empat kes jenayah lain melibatkan pecah pejabat, curi, dan curi kenderaan di kawasan Lembah Klang serta aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya.

“Suspek pertama hingga kelima telah dibebaskan setelah siasatan selesai, manakala suspek keenam hingga kelapan direman sehingga 6 Januari bagi membantu siasatan,” katanya.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis. – https://amiminerals.org/